Latar belakang Nik Mohamed Adeeb Nik Mohamed

Nik Mohamed Adeeb dilahirkan pada 1911 di Kampung Balik Hilir, Kubang Pasu, Kota Bharu. Selepas tamat Sekolah Melayu, Sekolah Majlis dan Masjid Muhammadi di Kota Bharu, beliau dihantar untuk mendalami ilmu agama di Mekah pada 1920 selama tujuh tahun.

Pada 1927 beliau bertolak ke Mesir dan memasuki American University, Kaherah. Di universiti tersebut, beliau menguasai bahasa Inggeris dan ilmu-ilmu moden selepas sekian lama menggali ilmu agama di Kota Bharu dan Mekah[1].

Kerjaya awal

Selepas pulang ke Kelantan pada 1937, Nik Mohamed Adeeb terlibat secara aktif dalam kegiatan masyarakat, khususnya dalam menggerakkan aktiviti belia. Pada Ogos 1937, beliau dilantik sebagai Khatib Masjid Muhammadi membantu ayahnya, Khatib Nik Mohamed atau Khatib Nik Mat Api. Pada awal 1938, beliau dilantik pula sebagai Kadi Percubaan Kota Bharu sebelum dinaikkan pangkat sebagai Kadi Pelawat dari Januari 1940 hingga Ogos 1941[1].

Serentak dengan itu juga, beliau diangkat sebagai Ahli Jemaah Ulamak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada 1940, diikuti sebagai Pemangku Kadi Besar Kelantan pada 1 September 1941. Pada Januari 1943, beliau dilantik sebagai Kadi Besar Kelantan. Beliau melepaskan jawatan Kadi Besar pada 18 Julai 1957 kerana berselisih pendapat dengan Mufti Kelantan.

Selain menjadi Khatib Masjid Muhammadi semenjak 1937, beliau turut menjadi guru hadis, al-Quran, ilmu jiwa (psikologi), mantik moden dan melatih bakal hafiz di masjid tersebut semenjak 1945. Pada 1 Mac 1945, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pelajaran Majlis sehingga April 1946, kemudian sebagai Ahli Jawatankuasa Penyiasat Sekolah-sekolah Arab Majlis pada Ogos 1949. Di atas cadangan beliau, Madrasah Taqaddum Ilmi, Ketereh ditubuhkan pada 1946. Di samping itu, beliau turut mengajar agama di Jamik Merbau Ismaili, Kem Tentera dan Penjara Kota Bharu. Dalam masa yang sama beliau aktif menulis di majalah seperti Qalam dan menghasilkan tafsir al-Quran Juzuk Amma, Rahsia Menghadap Tuhan.

Gerakan kesedaran

Nik Mohamed Adeeb berada di Mesir ketika gerakan menentang penjajah sedang berlaku dan beliau berada di sana ketika pembunuhan pemimpin Mesir, Saad Zaghlul Pasha pada 23 Ogos 1927. Ketika berada di Kelantan, beliau cuba menggerakkan kesedaran kemerdekaan di kalangan belia, khususnya lepasan Madrasah Muhammadi. Kerana semangat kemerdekaan ini, Nik Mohamed Adeeb telah menyertai Persatuan Melayu Kelantan (PMK) pada 1945 dan dilantik sebagai ahli jawatankuasa persatuan ini. PMK adalah antara pertubuhan Melayu yang penting selepas Perang Dunia Kedua, khususnya di Kelantan dalam memperjuangkan bantahan terhadap Malayan Union.

Walau bagaimanapun, Nik Mohamed Adeeb sering berselisih pandangan dengan ulama-ulama tua kerana beliau dikatakan mendukung pemikiran baru (islah) dan ia menjadi sebab perletakan jawatan beliau sebagai Kadi Besar Kelantan.